RM110 Juta Sasaran Kutipan Zakat PPZ-MAIWP

Assalamualaikum.

Bulan Ramadhan 1440H hampir tiba 2 hari lagi. Justeru itu, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah mengadakan sidang media baru-baru ini yang bertujuan untuk mewar-warkan kepada orang ramai bahawa pihak PPZ-MAIWP menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pembayaran zakat sepanjang bulan Ramadhan 2019 ini. Disamping itu, terdapat keistimewaan dan kelebihan membayar zakat di PPZ-MAIWP.

SASARAN KUTIPAN RAMADHAN PPZ-MAIWP 2019

Pihak PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat harta dan fitrah berjumlah RM110 juta membabitkan 126,200 pembayar sepanjang Ramadan ini yang mana sasaran ini peningkatan 15% daripada Ramadhan 2018 yang lalu. Pihak PPZ-MAIWP juga menyasarkan kutipan menerusi portal mampu mencecah RM1 juta berbanding RM180,000 pada Ramadan tahun lalu.

Selaras dengan tema "Ibadat Zakat Pelengkap Ramadhan" pelbagai kempen untuk menggalakkan orang ramai berzakat sepanjang Ramadhan 2019 ini di PPZ-MAIWP diadakan oleh pihak PPZ-MAIWP.


PERKHIDMATAN PPZ-MAIWP

Bertepatan dengan slogan PPZ-MAIWP "Memudahkan Anda Berzakat", pihak PPZ-MAIWP menyediakan 10 kaunter iaitu tujuh di Kuala Lumpur, dua di Putrajaya dan satu di Labuan yang dibuka sepanjang Ramadan dari jam 8.15 pagi hingga 4.30 petang. Kaunter itu menyediakan perkhidmatan mentaksir zakat, membayar semua zakat termasuk fitrah, mendapatkan salinan zakat, menyemak rekod bayaran zakat terdahulu dan mendapatkan borang kebenaran potongan gaji zakat.

Pembayaran juga boleh dibuat menerusi portal, www.zakat.com.my yang mana ianya lebih mudah dan boleh dilakukan sepanjang tempoh 24 jam. Resit pembayaran juga boleh didapati secara terus. Anda juga boleh menyemak rekod pembayaran terdahulu secara atas talian.

Pihak PPZ-MAIWP juga menyediakan empat Kaunter Zakat Bergerak (KZB) PPZ-MAIWP bagi memudahkan pembayaran zakat yang lokasinya boleh diketahui dengan menghubungi pusat panggilan di talian 1 300 88 5757.


KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN MEMBAYAR ZAKAT DI PPZ-MAIWP

Bagi menarik lebih ramai pembayar zakat, pihak -MAIWP menyediakan cenderahati seperti sampul raya, kit Ramadan dan Syawal serta produk asnaf iaitu serunding (bermula minggu ke-3 Ramadan) akan diberikan selagi stok masih ada. 

Cenderahati khas juga disediakan kepada 1,000 orang yang mengulangi bayaran mereka menerusi portal PPZ-MAIWP. 

Pembayar zakat melebihi RM50 akan dilindungi Skim Kafalah Muzakki, PPZ-MAIWP akan menyumbang RM3,000 kepada waris jika pembayar zakat berkenaan meninggal dunia

Untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan 2019 ini, pihak PPZ-MAIWP bakal bersiaran langsung dalam empat slot santai di Facebook Live selama 30 minit setiap Jumaat sepanjang Ramadan. Antara topik yang akan dibicarakan mengenai persoalan kutipan dan agihan zakat serta pengisian kerohanian bersama tetamu jemputan.



PENJENAMAAN SEMULA SKIM THOHIR

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff turut mengumumkan penjenamaan semula (re-branding) Skim Thohir yang telah digunakan hampir lapan tahun kepada Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB). Logo PZB juga turut diperkenalkan.



No comments:

Post a Comment