Puasa Bagi Wanita Hamil

Assalamualaikum. Cinta.

Alhamdulillah... masih diberi kesempatan oleh-Nya untuk turut sama-sama dengan kalian semua menjalani ibadah puasa kali ini. 

Disebabkan puasa tahun ini Sue berbadan dua, so Sue nak share serba sedikit tentang beberapa info dan tips sebagai seorang wanita yang hamil. Alhamdulillah.. Ramadhan kali ini Sue mampu berpuasa, inshaaAllah nak puasa penuh tahun ni.. hehe..

5 tahun lepas Sue berpuasa juga dalam keadaan mengandungkan Hadirah tapi bezanya Sue tak dapat nak berpuasa penuh. Menggigil satu badan, nak pitam, nak pengsan, lapar sangat-sangat (walaupun dah sahur makan banyak-banyak T__T). Waktu itu sangat sangat mencabar mental dan fizikal. Mungkin masa itu masih di peringkat awal kehamilan menyebabkan Sue tak dapat memenuhkan puasa Sue.. Jenuh la.. -__-"

Kali ini alhamdulillah.. walaupun keletihan tapi masih mampu meneruskan puasa walaupun bila dah masuk waktu Asar, rasa dah goyah dan teringin nak berbuka. (heh!)

* sumber : google *

Hukum Wanita Hamil Berpuasa

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh berpuasa jika si ibu khuatirkan keselamatan bayi dan kesihatan mereka terjejas kerana tidak makan dan minum.

Berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184 :

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ 

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang terdaya berpuasa (lalu mereka meninggalkan puasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu), kalau kamu mengetahui.  

Terdapat dua hukum dalam keadaan ini. Hukum pertama ialah wanita hamil yang bimbang tentang kesihatan dan keselamatan dirinya ketika berpuasa.

Ulama bersependapat bahawa wanita yang hamil dan bimbang akan kesihatan dirinya maka mereka hanya wajib menggantikan puasa sahaja dan tidak harus membayar fidyah kerana dalam keadaan ini wanita hamil itu sakit dan dalam bahaya.

Hukum kedua ialah wanita hamil yang sihat dan tetapi bimbang keselamatan dan kesihatan bayi di dalam rahimnya.

Dalam hal ini ulama memberikan pendapat dibolehkan berbuka puasa tetapi beliau harus menggantikannya di hari lain dan harus membayar fidyah.

Dalam fatwa al-Shaykh Ibn Baaz (lihat juga al-Mawsoo'ah al-Fiqhiyyah 16/272) memberitahu adalah wajib bagi wanita untuk berbuka puasa jika puasanya akan mendatangkan kemudharatan dirinya atau bayinya, dengan syarat ia dinasihati oleh doktor Muslim yang baik.

Peranan Doktor Menentukan Hal Ini

Apabila wanita hamil datang ke pusat rawatan untuk pemeriksaan antenatal pada bulan Ramadhan, dia haruslah memberitahu masalah yang dihadapi ketika berpuasa.

Doktor boleh memberikan pendapat sama ada wanita hamil itu boleh meneruskan puasa atau harus meninggalkan puasanya. Ini kerana sepanjang tempoh berpuasa, tubuh wanita hamil dan bayi yang berada di dalam rahim menggunakan segala nutrien dan tenaga yang tersimpan di hati (liver) wanita itu.

Kekuatan wanita hamil untuk bertahan terus berpuasa bergantung kepada beberapa faktor :

  • Berapa lama wanita itu telah hamil? (stage of pregnancy)
  • Berapa lama tempoh berpuasa? Jika di Malaysia tempoh berpuasa antara 12-13 jam, tetapi di negara Eropah mungkin ia lebih lama dan mungkin juga lebih pendek. Jika terlalu lama ada sesetengah wanita hamil tidak sanggup berpuasa kerana banyak nutrien yang disimpan dikongsikan bersama bayi dalam rahim.
  • Adakah bulan Ramadhan secara kebetulan bersama-sama dengan cuaca panas atau amat sejuk? Dalam musim yang terlalu panas atau terlalu sejuk (terutama di negara yang mempunyai 4 musim), banyak tenaga yang digunakan untuk mengekalkan haba tubuh di musim sejuk, sementara di musim panas, dehidrasi mudah berlaku dan sangat bahaya pada bayi yang dikandung.
  • Bagaimana kesihatan wanita hamil sebelum beliau hamil? Jika wanita hamil itu telah mengalami masalah penyakit kronik sebelum kehamilannya, maka beliau mudah menjadi lemah jika tidak makan dan minum.

Oleh itu adalah dinasihatkan wanita yang merancang untuk hamil ataupun telah hamil di bulan Ramadhan harus berbincang dengan doktor. Ini sangat penting terutama bagi wanita yang mempunyai sejarah kehamilan yang bermasalah (complicated pregnancy) sebelum ini, seelok-eloknya harus merancang bersama doktor.

Jika terdapat tanda-tanda berikut, sebagai panduan asas, wanita hamil boleh berbuka puasa. Antaranya:

  • Rasa pening, lemah, pitam atau penat walaupun telah berehat selama 30 minit hingga sejam.
  • Rasa loya dan mula muntah sehinggakan tiada cara lain selain memakan ubat menahan muntah.
  • Rasa sangat haus, warna air kencing sangat keruh dan baunya sangat hancing, menandakan fenomena dehidrasi. Bila dehidrasi berlaku wanita hamil akan berasa amat lemah dan membahayakan diri dan bayinya. Beliau haruslah berbuka jika perlu meminum air atau dimasukkan air saline ke dalam saluran darahnya secara intravenous.
  • Jika umur kehamilan melebihi 20 minggu dan bilangan pergerakan bayi dalam rahim menjadi kurang daripada 10 kali pergerakan. Kebiasaannya bayi akan bergerak selepas ibunya makan kerana pada masa itu bayi dalam rahim mendapat nutrisi yang dibekalkan. Kekurangan pergerakan bayi menunjukkan bayi itu memerlukan nutrien dan berada dalam keadaan yang bahaya. Adakalanya wanita itu berbuka puasa, pergerakan bayi dapat dirasakan semula.
  • Rasa sakit perut memulas-mulas seperti mahu melahirkan. Ini mungkin tanda kelahiran pramatang. Dengan makan dan minum, nutrien dapat diberikan kepada bayi dan proses kelahiran pramatang dapat dielakkan.
  • Wanita hamil tidak mengalami pertambahan berat badan atau mengalami kekurangan berat badan. Ini bermakna tenaga dan nutrien yang disimpan semakin berkurangan yang sepatutnya disimpan secukupnya untuk proses kelahiran nanti.
  • Mengalami sakit kepala, atau demam yang mana harus memakan ubat bagi menyembuhkan kesakitan dan demamnya.

Pada masa yang sama, doktor akan melarang seseorang wanita itu berpuasa jika dia mempunyai komplikasi kehamilan seperti:

  • diabetes mellitus
  • penyakit buah pinggang
  • penyakit hati (liver) yang tidak berfungsi
  • penyakit bronchial asthma yang kuat
  • penyakit tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
  • kehamilan kembar
  • mengalami risiko kelahiran pramatang
  • masalah-masalah lain berkaitan kehamilan yang serius

Sumber : Dr. Zubaidi

Semoga informasi ini bermanfaat buat kawan-kawan yang sedang mengandung dan berpuasa atau yang teringin berpuasa tapi masih was-was di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Wassalam.

1 comment: