Syurgakah Itu Atau...?

Assalamualaikum. Cinta.

* gambar sekadar hiasan. sumber dari google.com *

Bauan rumput hijau mengharumkan suasana ditambah dengan bunyi deruan pancuran air terjun laju menuruni tebing.. Putih dan hijau bergabung menjadi suatu warna yang tenang dan mendamaikan. Sebatang jalan kecil menyusuri sepanjang bukit dan tebing di mana terletaknya air terjun itu membuatkan hati terdetik, "di manakah aku?". Suasana yang indah dan tenang itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sebuah basikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki dan dibelakangnya pula dibonceng oleh seorang wanita yang berpakaian serba putih tenang melalui jalan kecil itu. Sambil gelak ketawa kegembiraan si wanita, mereka melalui jalan kecil yang seperti tiada penghujungnya itu.. Tapi sepatah kata pun tiada dari si lelaki. Hanya senyuman manis sentiasa menghiasi wajahnya. Tenang saja wajahnya ketika itu.

Hanya kegembiraan yang dirasai ketika itu oleh si wanita. Tapi.. kenapa? Dan dimanakah tempat ini sebenarnya? Hati tertanya-tanya tapi tidak diluahkan dengan kata-kata. Masih gembira kerana dapat menunggang basikal bersama si lelaki itu.

Tiba di suatu tempat di mana sukar untuk digambarkan keadaannya ketika itu yang terlalu indah dan dihiasi cahaya putih terang benderang, si lelaki dan si wanita berhenti dari terus menunggang basikal tersebut. 

Si lelaki turun dan menuju ke arah cahaya yang terang benderang yang entah dari mana munculnya itu. Si wanita berlari mengejar si lelaki dan menjerit sekuat hati memanggil si lelaki yang disayanginya itu, "Angah! Tunggu!" Si lelaki berpaling dan berhenti. Menoleh ke arah si wanita, kakaknya. Hanya senyuman manis yang diberikan ketika itu. "Angah.. Nak pergi mana tu?" Si adik tidak menjawab tapi hanya terus tersenyum.

Tiba-tiba suatu suara yang entah dari mana datangnya menjawab pertanyaan si kakak, "Bersabarlah Along.. suatu masa nanti kita akan bertemu lagi. Jangan bersedih."

Allahuakbar..di manakah aku sebenarnya ini? Si kakak yang terpinga-pinga terus memandang si adik yang masih lagi tenang. Si adik hanya tersenyum. Wajahnya yang tampan dan putih bersih itu memancarkan lagi cahaya kegembiraan untuk meninggalkan kakaknya. Seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk pergi selama-lamanya. Tiba-tiba si kakak menangis. Tersedar bahawa itu mungkin pertemuan terakhir mereka.. Si adik pula melemparkan senyuman yang paling manis buat kakaknya untuk kali yang terakhir dan berpusing, meneruskan langkah kakinya hingga hilang di sebalik cahaya itu. Si kakak terus-terusan menangis.

Selepas itu si kakak tersedar dari tidurnya. Matanya basah. Bantalnya juga basah. Menangis dalam tidur rupanya.. Tapi.. masih terngiang-ngiang kata-kata adiknya, "Bersabarlah Along.. suatu masa nanti kita akan bertemu lagi. Jangan bersedih." Astagfirullah.. adakah mimpi itu pesanan terakhir Arwah? Dan dimanakah tempat itu sebenarnya??

Allahuakbar..

Maafkan Along dik.. Walaupun sudah 10 tahun ianya berlalu namun Along masih tak dapat nak lupakannya.

Mungkin itu semua mimpi mainan tidur oleh syaitan tapi mungkin juga itu pesanan yang ingin disampaikan oleh Arwah Angah kepada Sue, kakaknya. Wallahualam.. 

Mimpi ini berlaku selepas beberapa hari Arwah adik Sue meninggal dunia 10 tahun yang lalu. Masih lagi segar dalam ingatan Sue hingga ke hari ini..

Al-fatihah..


Wassalam.

3 comments: