[Salam Jumaat] Cinta Dan Kasih Sayang

Assalamualaikum. Cinta.

Salam pagi Jumaat!

Hidup manusia akan terbatas dan terkongkong apabila ada sekatan perasaan dan kejiwaan sesama manusia. Sebaliknya terbuka dan bebas (dalam peraturan dan undang-undang yang diperlukan) apabila ada kasih sayang dan saling mempercayai sesama insan. 

Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.



1. SIFAT-SIFAT UTAMA YANG DIPERLUKAN 

Setiap kelahiran manusia dibekali oleh Allah s.w.t perasaan yang pelbagai. Perasaan itu perlu dipupuk, diasuh dan dilazimi untuk menjadi akhlak atau perangai yang membolehkan seseorang itu dikatakan bersifat dengan sifat-sifat tertentu. Antara sifat-sifat utama yang perlu dipupuk dan disuburkan ialah :

1.1 Cinta atau al-Hubb :
Cinta dan kasih sayang akan tumbuh dalam diri hasil kepercayaan yang lahir melalui pancaindera yang lima dan melalui ilmu tentang kebaikan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Berlawanan dengan cinta dan kasih sayang ialah benci dan cuak yang merupakan perasaan tidak menerima terhadap sesuatu justeru tanggapan dan kepercayaan keburukan menyeluruh atau sebahagian bagi sesuatu. Mengenali dengan tepat akan sesuatu itu boleh menumbuhkan cinta yang sebenar atau benci yang sebenar. Manakala mengenali dengan silap akan sesuatu pula boleh melahirkan cinta dan benci yang salah dan tersasar. Maksud cinta dan kasih sayang di sudut bahasa dan istilah akan dibicarakan kemudian nanti.

1.2 Sabar atau bernafas panjang atau sanggup tahan senafas :
Sabar merupakan sifat utama yang dianjurkan Allah. Ia memberi maksud sanggup bertahan mengikut keperluan dan situasi. Sewaktu perang, orang yang ‘bersabar’ dikatakan berani. Semasa mampu membalas kejahatan orang tetapi ditahan gelora dendam disebut penyantun. Ketika hati ghairah ingin memiliki keindahan dunia dan tarikannya dan dia mampu memiliki, lalu dia ‘mengongkong’ diri daripada perhiasan dunia itu dan tidak terikat dengannya, maka ketika itu dikatakan zuhud. Sewaktu malas dan kelesuan, tetapi digagahi jua menunaikan kefardhuan dan nawafil (sunat) dikatakan mujahadatunnafsi (melawan nafsu keji). Dan seterusnya….. semua itu adalah SABAR!

1.3 Benar atau menepati realiti :
Bersifat benar dengan maksud benar dengan Allah dalam memenuhi janji ‘inna solaati wanusuki wamahyaaya wamamaati lillah…’ , benar dengan diri dalam memenuhi kehendak ‘sunnatullah’ pada diri sendiri sebagai makhluk yang dipertanggungjawabkan memakmur dan mengendalikan dunia yang dikenali sebagai manusia dan benar dengan makhluk lain, terutama sesama manusia.

1.4 Ikhlas atau melakukan kerja kerana matlamat yang satu :
Ikhlas bermakna suci bersih. Ikhlas berbakti kerana Allah bermaksud bekerja hanya mencari keredhaan Allah meskipun manusia tidak menyetujuinya. Namun, semasa membuat penilaian tentang apa yang Allah redha dan apa yang manusia setuju itu memerlukan ILMU tentang wahyu Allah (Qur’an dan sunnah yang soheh) dan ILMU tentang latar hidup mannusia dan aliran pemikirannya. Dan syarat dasar dalam keikhlasan amal ialah dua : pertama, berbuat kerana menuntut keredhaan Allah atau ‘kerana Allah’ dan kedua, bertindak menepati dengan peraturan syari’at Islam atau menurut sunnah.


2. BERAKHLAK DENGAN SIFAT TUHAN DALAM KEHIDUPAN

Sifat Arrahman dan Arrahim adalah milik Allah. Kedua sifat Nya yang mulia ini dinyatakan dalam al Qur’an di tempat yang sedemikian banyaknya, bertebaran dalam setiap surat pada al Qur’an. Rupanya Allah memberikan sifat yang mulia ini kepada makhluk yang dikehendaki Nya, termasuk kepada manusia dan juga binatang. Jika seseorang sudah dikurniai kasih sayang atau cinta terhadap sesuatu, maka halangan dalam bentuk apapun akan ditaklukkan demi meraih cintanya itu. Kerana sifat kasih sayang atau cinta hanyalah milik Allah swt., maka yang boleh diusahakan adalah memohon kepada Nya, agar kita dikurniakan sifat yang mulia itu. Atas dasar keyakinan seperti ini, maka Rasulullah saw mengajarkan pada umatnya selalu berdoa, agar selalu dikurniai rahmat Nya, dekat pada Nya, dan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nya.  


3. PENGERTIAN KASIH SAYANG DISEGI BAHASA DAN ISTILAH

Kasih sayang dan cinta (dalam bahasa Arab disebut Mahabbah) di segi bahasa adalah berasal daripada bening dan bersih, atau luapan hati dan gejolaknya, atau tenang dan teguh, atau gundah dan tiada tetap, atau inti sesuatu, atau usungan bejana/ bekas, atau buah hati. Batasan maknanya juga berbeza pendapat di kalangan ahli bahasa. Ada yang menyatakan sebagai kecenderungan secara terus menerus dengan disertai hati yang meluap-luap. Ada pula yang menyebut sebagai kecenderungan secara total kepada orang yang dicintai, kemudian engkau rela mengorbankan diri, nyawa dan hartamu demi dirinya, kemudian engkau mengikutinya secara sembunyi atau terang-terangan. Istilah yang sinonim dengan kasih sayang dan cinta ini amat banyak sehingga menjangkau 50 istilah. Penjelasan detail hendaklah dirujuk kepada buku penting tentang tajuk ini yang bernama : Cinta Dan Rindu Menurut al-Qur’an Dan al-Sunnah (Asal : Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Musytaaqiin) oleh al- ‘Allaamah al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah r.a.. 

3.1. Kasih-sayang sesama Islam (seaqidah)
Kata Imam Hasan al-Banna r.a. (1908-1949m) dalam Risalah Ta’alimnya : “Maksudku dengan ukhuwwah (kasih sayang dan persaudaraan) adalah: Hati-hati dan ruh terikat dengan ikatan akidah. Ikatan akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan mahal. Persaudaraan sebenarnya adalah persaudaraan iman dan perpecahan itu adalah saudara kepada kekufuran. Kekuatan yang pertama kepada kita adalah kekuatan kesatuan, tidak ada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah martabat `ithar’ (melebihkan saudaranya dari dirinya sendiri). Firman Allah s.w.t. : “dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang Yang berjaya.” (surah Al-Hasyr ayat 9).

Akh yang benar dengan fikrahnya akan melihat saudaranya lebih utama untuk diberikan perhatian dari dirinya sendiri kerana kalaulah mereka tidak bersama dengannya pasti mereka akan bersama dengan selain darinya (orang lain). Sesungguhnya serigala akan membaham kambing yang kesesatan. Mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain. “Mukminin dan mukminat sebahagian mereka adalah pemimpin kepada sebahagian yang lain.” Inilah situasi yang perlu kita wujudkan.”

3.2. Kasih sayang sesama manusia
Kasih sayang sesama manusia meliputi segala-galanya dalam urusan hidup selain melibatkan unsur agama dan aqidah yang menjadi rukun agama yang dianuti oleh manusia tersebut. Justeru itu, kasih sayang ini membuka ruang untuk berintraksi dengan manusia yang tidak seagama secara terbuka dalam semua bidang selain yang melibatkan unsur agama manusia itu. Kemanusiaan ini amat menyeluruh, terutama bagi pihak kerajaan Islam dalam menangani semua pihak yang berada di bawah naungannya sehingga hak beragama penganut agama bukan Islam juga boleh dilayani selagi tidak berunsur menyebar dan menyuburkan agama tersebut. Kasih sayang ini meliputi bantuan keperluan hidup ; makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, dan keperluan asas yang lain, pergaulan (kecuali dalam hal-hal tertentu seperti perkahwinan), harta, tanah dan sebagainya.


4. BAHAGIAN KASIH SAYANG

4.1. Kasih sayang fitrah
Kasih sayang fitrah atau semula jadi atau sunnatullah yang dibekalkan oleh Allah ini seperti kasih sayang yang timbul apabila melihat anak kecil yang diseksa atau sakit. Semakin lemah seseorang manusia di sudut fizikal semakin dalam perasaan kasih sayang yang timbul dalam hati sanubari mereka yang berada sekitarnya. Justeru itu, kasih ibu dan ayah kepada anaknya tidak diperintahkan oleh Allah lantaran tabiat semula jadi yang wujud itu. Berbeza kasih sayang anak kepada dua ibu bapanya mestilah dipupuk dan dibajai, dan ianya diperintahkan oleh Allah, lantaran bimbang sewaktu tua ibu bapa (sewaktu lemah) tidak dipedulikan oleh anak-anak.

Termasuk kasih sayang fitrah ini ialah segala bentuk haiwan yang sentiasa menaungi anak-anaknya dan pasangannya. Bahkan adakalanya kasih sayang haiwan lebih hebat daripada kasih sayang sebahagian manusia yang tidak terdidik.

4.2. Kasih sayang Allah kepada hambaNya

a. Kasih sayang Allah kepada makhlukNya
Segala makhluk di alam maya ini berada di bawah kasih sayang Allah mengikut jenis dan klasifikasinya, walaupun makhluk itu (hanya jin dan manusia) kufur kepada Allah, lalu mereka boleh hidup dengan udara, air, tanah dan api yang disediakan oleh Allah. Dalam hal ini, mereka yang berikhtiar dan berusaha lebih akan mendapat habuan rezeki dan kekayaan mengikut kadar kerja yang disumbangkan. Bukankah ganjaran itu mengikut kadar kerja yang diusahakan ?

b. Kasih sayang Allah kepada hambaNya yang beriman
Kasih sayang Allah kepada makhlukNya yang beriman ada kelainannya, terutama di akhirat nanti. Semasa di dunia kasih sayang Allah ini berupa pertambahan taqarrub si hamba yang beriman kepada Allah. Persoalan rezeki dan kesenangan hidup bukan ukuran kasih sayang Allah kepada seorang mukmin.

4.3. Kasih sayang hamba kepada Tuhannya
Kasih sayang hamba kepada Tuhannya bergantung di atas kesedaran diri hamba/ manusia terhadap segala bentuk nikmat yang diperolehinya samada nikmat kewujudannya di dunia, atau nikmat panjang umur dan kesihatan dan nikmat kesenangan berupa harta, wang, kekayaan, pangkat dan sebagainya.

4. 4. Kasih sayang hamba sesama hamba
Kasih sayang hamba sesama hamba berlegar pada 5 paksi berikut :

a. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan (satu hak sahaja) (lihat nombor 3.2 di atas)

b. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan dan kejiranan (dua hak sahaja). Selain kasih sayang 4.1 di atas, kejiranan menambah lagi hak manusia dalam mendapat prioriti kasih sayang.

c. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan dan kekeluargaan (tiga hak sahaja). Tambahan kepada kasih sayang 4.1 dan 4.2 di atas, kekerabatan akan meningkatkan prioriti dan keutamaan memberi kasih sayang ini. Namun di akhirat, kasih sayang kekerabatan akan terputus apabila berbeza aqidah dan prinsip taqwa. Lihat (Zukhruf/ 67) : “pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya Yang lain, kecuali orang-orang Yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).”

d. Kasih sayang atas dasar kemanusiaan, kejiranan, kekerabatan dan keagamaan/ aqidah. (empat hak) (lihat 3.1 di atas). Juga apa yang disabdakan oleh junjungan Rasulullah s.a.w. yang sering dibacakan kepada kita yang bermaksud : “Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia kasih kepada saudaranya (seagama) sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri.”

e. Kasih sayang sejati. Kasih sayang yang sebenar adalah kasih sayang berdasarkan aqidah. Manakala kasih sayang yang lain menyusul selepas kasih sayang aqidah ini mengikut kadar yang dibolehkan oleh aqidah samada dalam kekerabatan, atau kejiranan atau kemanusiaan.


5. KEUTAMAAN KASIH SAYANG DAN KELEBIHANNYA

5.1. Mendapat rahmat Allah
5.2. Mengurangkan kebencian dan permusuhan dalam selimut
5.3. Mengurangkan peperangan
5.4. Menarik sikap perdamaian antara manusia
5.5. Mengelak daripada tindakan ‘hukum balas’ dan dendam akibat kesalahan-kesalahan yang kecil, bahkan kesalahan yang besar seperti memaafkan pembunuhan yang tidak disengajakan.
5.6. Mendekatkan hati-hati yang berjauhan
5.7. Menyeronokkan aktiviti hidup manusia


6. BAGAIMANA MENGAPLIKASIKAN KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN ?

6.1. Mengenali saudaranya secara mendalam ; nama, alamat, pekerjaan, status sosial, kewangan, kesihatan, psikologi dan sebagainya. “Jika seseorang menjalin tali persaudaraan dengan orang lain, maka hendaklah dia bertanya siapa namanya, nama bapanya dan dari mana dia berasal, kerana itu lebih mengeratkan kasih sayang.” Hadis riwayat Tarmizi. (10)

6.2. Menyatakan ‘saya sayangkan kamu’. Dalam sunan Abu Daud disebutkan bahawa seorang lelaki berada di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian ada lelaki yang lewat di sana. Orang yang ada di samping beliau berkata : “Wahai Rasulullah, saya benar-benar mencintai orang itu.” Rasulullah s.a.w. bertanya : “Apakah engkau sudah memberitahukannya?” “Tidak.” Jawabnya. “Beritahukanlah cintamu itu padanya.” Sabda beliau. Maka orang itu menemui orang yang dimaksud, lalu berkata kepadanya : “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.” Orang yang dicintainya berkata : “Yang membuatmu mencintaiku juga mencintaimu.” (11)

6.3. Menyebarkan salam. Dalam soheh Muslim, disebutkan dari hadits Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud) : “Demi diriku yang ada di tanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman, dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai ?Sebarkan salam di antara kalian.(12)

6.4. Berhadiahlah, kamu akan berkasih sayang. (Maksud Hadis).

6.5. Menutup keaiban saudaranya (Maksud hadis)

6.6. Melaksanakan aktiviti pemupukan kasih sayang seperti kebersamaan dalam : bermain, berbasikal, bersampan, melancung, ziarah, kenduri, gotong royong dsb. Ini berasaskan ayat 2 surah al-Maaidah :
bermaksud : “…..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

6.7. Memberi apa yang diperlukan dalam batas yang dibolehkan oleh syara’ ; Tenaga, Fikiran, Keprihatinan, Kasih sayang, Kewangan, Harta, Pangkat dsb.

6.8. Memberi (hibah) secara rambang atau terancang.

6.9. Menahan diri daripada segala bentuk ancaman, bahaya dan khianat terhadap orang lain samada dalam bentuk lidah, tangan dan hati nurani.

6.10. Mendo’akan kebaikan kepada mereka yang layak mendapatnya dan mendo’akan menolak bencana daripada mereka yang tidak sewajarnya ditimpa bencana mengikut perkiraan kita, bukan pada perkiaraan Allah.


7. TANDA-TANDA KASIH SAYANG DAN CINTA
Apabila usaha mewujud dan menyuburkan kasih sayang dan cinta sesama muslim dan sesama insan, maka akan mekarlah tanda-tanda kasih sayang dan cinta itu. Antara tanda-tanda itu (13) ialah :

7.1. Menghunjamkan pandangan mata.

7.2. Malu-malu jika orang yang dicintai memandangnya.

7.3. Banyak mengingat orang yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya.

7.4. Tunduk kepada perintah orang yang dicintai dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri.

7.5. Orang yang mencinta bersabar menghadapi gangguan orang yang dicintai.

7.6. Memperhatikan perkataan orang yang dicintai dan mendengarkannya.

7.7. Mencintai tempat dan rumah sang kekasih.

7.8. Segera menghampiri yang dicintai.

7.9. Mencintai apa pun yang dicintai sang kekasih.

7.10. Jalan yang dilalui terasa pendek sekali pun panjang saat mengunjungi orang yang dicintai.

7.11. Salah tingkah jika sedang mengunjungi orang yang dicintai atau sedang dikunjungi orang yang dicintai.

7.12. Kaget dan gementar tatkala berhadapan dengan orang yang dicintai atau tatkala mendengar namanya disebut.

7.13. Cemburu kepada orang yang dicintai.

7.14. Berkorban untuk mendapatkan keredhaan orang yang dicintai.

7.15. Menyenangi apa pun yang menyenangkan orang yang dicintai.

7.16. Suka menyendiri.

7.17. Tunduk dan patuh kepada orang yang dicintai.

7.18. Helaan nafas yang panjang dan lebih kerap.

7.19. Menghindari hal-hal yang merenggangkan hubungan dengan orang yang dicintai dan membuatnya marah.

7.20. Adanya kecocokan antara orang yang mencintai dan yang dicintai.


8. CINTA

Siapa yang paling berhak dicintai..?

Katakanlah: `Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.` Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. 3:31)

Bagaimana jika salah menilai hakikat Cinta ?

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: Wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga). (QS. 3:14)

Bagaimana jika mencintai secara berlebihan kepada selain Allah dan Rasul Nya ?

Dan wanita-wanita di kota berkata: `Isteri Al Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata.`(QS. 12:30)

Janganlah salah dalam menempatkan hakikat Cinta

Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. dan meninggalkan (kehidupan) akhirat. QS. al-Qiyamah (75) : 19.20

9. KEPADA SIAPA SAJA KASIH SAYANG  ITU ?

9.1 Orang Tua

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan `ah` dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (QS. 17:23)

9.2 Isteri dan Anak

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
(QS. 30:21)

9.3 Kepada Sesama Manusia

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka: kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda meraka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar. (QS. 48:29)


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari seorang laki-laki dan wanita, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya saling mengenal. Sesungguhnya orang mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal.” – Surah Al-Hujuraat [49]:13

-copy & paste- 
Sumber :-
1. http://cahayapurnama.com/memahami-sifat-kasih-sayang-dan-hikmahnya/
2. http://baca-blogspot.blogspot.com/2014/04/cinta-dan-kasih-sayang-dalam-islam.html
3. http://alkutubi.blogspot.com/2008/08/kasih-sayang-menurut.html

"Jangan dustai nikmat yang telah Tuhan berikan kepadamu, cintailah DIA setulus dan sepenuh hati. Kelak dia tanamkan dalam hatimu kecintaan pada Keimanan. Dan Allah jadikan Iman itu indah dalam hatimu. Disitulah engkau bertemu syurga di dunia sebelum syurga di akhirat"


Wassalam.

2 comments:

  1. kasih sayang kpd Allah tu lah hakiki.. dan sebanyak mana kita sayang kepada Nya, kasih syg Nya kepada kita lebih dari segalanya...

    ReplyDelete