Cabaran 30 Hari : Hari 15 - Surat Kepada Seseorang

Assalamualaikum. Cinta.

Hari 15 - Surat Kepada Seseorang, Siapa Saja

Kehadapan puteri kesayangan mummy, Hadirah..

Ini adalah coretan hati mummy buatmu sayang. One day Kakak akan faham jua kenapa mummy mencoretkan isi hati mummy di sini. One day semua ini akan menjadi kenangan. Mungkin masa itu mummy juga telah tiada di sisi Kakak.

Pertama sekali, mummy bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah mengurniakan seorang puteri yang comel dan baik hati seperti Kakak buat mummy dan papa tatkala mummy sedang dalam dilema dan bergelut dengan final year project mummy yang ketika itu terlampau banyak masalahnya. Setelah mendapat tahu mummy telah mengandungkan Kakak, sebenarnya mummy agak risau. Mummy rasa seolah-olah belum bersedia nak melangkah setapak dalam alam perkahwinan ini. Mummy selalu khuatir, bolehkah mummy membesarkan Kakak dengan baik nanti?

Tapi alhamdulilah.. Dengan izinNya mummy berjaya menempuh segala dugaan, cabaran dan rasa hati yang tidak enak ketika itu. Semakin hari mummy semakin mendapat kekuatan daripada Kakak. Alhamdulillah juga kerana mummy telah melepasi tahun-tahun yang bagi mummy sangat teruk ketika itu. Mummy telah berjaya menamatkan pengajian mummy dan beberapa bulan setelah itu, mummy melahirkan Kakak.

Syukur alhamdulillah.. Walaupun sakitnya bersalinkan Kakak ketika itu hanya Tuhan yang tahu bagaimana rasanya, namun bila Kakak dilahirkan, mummy lah orang yang paling gembira. Seolah-olah hilang segala keperitan setelah melihat muka Kakak yang baru dilahirkan.

Malam pertama bersama Kakak di hospital sememangnya sangat asing bagi mummy. Mummy tak tahu nak buat apa kalau Kakak menangis. Mummy tak tahu nak buat apa kalau something bad happen that night. Mummy mengharapkan Mama mummy, iaitu Oni Kakak ada di sisi mummy ketika itu.

Namun, malam itu adalah malam yang paling berharga buat mummy. Mummy tak tidur pun sepanjang malam itu. Hanya terlelap selama setengah jam sahaja. Ketika hening malam, mummy merenung Kakak, Kakak pula merenung mummy. Seolah-olah Kakak ingin memberitahu terima kasih mummy kerana telah membawa Kakak melihat dunia. Renungan mata Kakak ketika itu sampai sekarang mummy tidak boleh lupakan. Bulatnya mata Kakak merenung mummy.. Mummy pula rasa macam tidak percaya bahawa mummy yang melahirkan Kakak dengan payahnya ketika itu. Dalam hati mummy terdetik, mampukah mummy membesarkan dan mendidik Kakak dengan baik nanti? Mummy berdoa ketika itu supaya Kakak menjadi anak yang baik dan solehah buat mummy dan papa. Mummy harap Kakak dapat membesar dengan baik depan mata mummy dan papa.

3 bulan pertama bersama Kakak memang suatu yang sangat-sangat mummy rindukan hingga kini. Tetapi sekali lagi, dugaan yang paling berat mummy hadapi. Rezeki datang setelah Kakak dilahirkan. Mummy mendapat tawaran untuk training 2 bulan di Melaka. Mummy terpaksa memilih satu antara 2. Peluang di depan mata dan Kakak yang masih kecil di depan mata mummy. Sekali lagi mummy dalam dilema. Hanya Tuhan yang tahu apa perasaan mummy ketika itu.

Papa juga banyak menasihati mummy dalam membuat sebarang keputusan ketika itu. Mummy 50-50 antara kerja dan Kakak. Tapi oleh kerana desakan hidup yang mana memerlukan mummy berkorban, maka mummy telah memilih kerja. Kakak ditinggalkan ketika masih perlukan perhatian, belaian, kasih sayang dan masih menyusu ketika itu. Agak sukar sebenarnya. Sedih sangat bila ditakdirkan Kakak perlu putus susu dengan mummy.

Melihat muka Kakak yang comel itu meruntun jiwa mummy ketika meninggalkan Kakak. Jauh nun di Melaka mummy bertapa selama 2 bulan. Siapa yang tak sayangkan Kakak. Mummy sayangkan Kakak. Maafkan mummy kerana telah meninggalkan Kakak yang masih belum mengerti apa-apa lagi ketika itu. Kasihan Kakak.. sedih bila memikirkan apalah nasib Kakak ditinggalkan ketika masih bayi lagi. 

Terima kasih Mama kerana sudi menjaga cucu Mama yang seorang ini dan mencurahkan kasih sayang tanpa berbelah bahagi sepanjang Along tiada di sisi Hadirah.

Mummy memohon ampun dan maaf kerana mummy telah memilih jalan ini. Semuanya demi masa depan Kakak juga. Mummy tidak tahu jika mummy tidak merebut peluang di depan mata suatu waktu dulu, bagaimana nasib kita sekarang ini. Sungguh! Mummy tak tahu.. Maafkan mummy.. 

Mummy mahu membesarkan Kakak dalam suasana yang selesa tanpa ada apa-apa kekurangan pun. Namun mungkin kurangnya perhatian daripada mummy dan papa sedari Kakak kecil lagi membuatkan mummy ingin menggantikan balik masa-masa yang mummy tidak perolehi suatu waktu dulu. Mummy terasa ingin patah balik ke masa itu namun, kaki mummy harus melangkah ke hadapan walaupun sesekali mummy tetap menoleh ke belakang..

Semakin hari Kakak semakin membesar. Mummy juga risau jika Kakak sudah tidak sayangkan mummy lagi memandangkan Kakak kini tinggal bersama Oni. Kebanyakkan masa Kakak diisi oleh Oni dan Atok.

Namun mummy bersyukur juga kerana setiap hujung minggu mummy masih punya masa, punya waktu untuk dihabiskan bersama Kakak. Walaupun kita berjumpa hanya sekali seminggu, mummy tahu.. Kakak sangat rindukan mummy dan papa. 

Bila Kakak semakin membesar, Kakak sudah mula pandai hendak ikut mummy dan papa pulang. Sampai menangis, mengamuk, merajuk dibuatnya.. Tak sampai hati tengok Kakak menangis.. Terpaksa mummy dan papa pulang senyap-senyap tanpa pengetahuan Kakak. Sedih setiap kali mummy terpaksa pulang begitu. 

Tapi mummy belum boleh ambil Kakak lagi buat masa ini. Mummy harap Kakak bersabar ye sayang.. Suatu hari nanti mummy dan papa akan ambil Kakak semula. Mummy akan jaga Kakak siang dan malam setiap hari. Itu impian mummy. Mummy tidak pernah lupakan Kakak walau sesaat pun. Kakak selalu ada dalam ingatan mummy.. Kakak sentiasa ada dalam hati mummy..

Mummy berdoa semoga suatu hari nanti jalan-jalan berliku ini dan segala dugaan dan cabaran dapat mummy tempuhi dengan jayanya. Moga segalanya dipermudahkan..

InshaaAllah.. suatu hari nanti Kakak akan bersama mummy dan papa juga.. Mummy hanya mampu merancang, Allah swt yang menentukan.. Moga Kakak sabar dan tabah untuk menunggu hari itu.. Mummy harap masih belum terlambat lagi untuk mummy melihat Kakak membesar depan mata mummy..

Maafkan mummy sekali lagi...




Yang sentiasa merinduimu sayangku,
Mummy Hadirah


Wassalam.

#kelabbloggerbenashaari #cabaran30hari #entrikelabbloggerbenashaari

No comments:

Post a Comment