MH370 : Penerbangan "Berakhir" di Lautan Hindi

Assalamualaikum. Cinta.

Terkejut.
Sedih.
Sayu.

Hanya itu rasa yang dapat dipamerkan ketika ini. Terkejut dengan pengumuman PM Datuk Seri Najib malam tadi. Tak terkata. Hancur harapan. Musnah impian untuk melihat MH370 kembali dengan selamat.

Kelu lidah tika ini. Tak dapat nak gambarkan apa perasaan family yang terlibat. Kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, hanya mampu berdoa. Tabahlah wahai kalian. Berlinangan airmata tika ini..

Kenyataan PM semalam mengenai MH370 :-

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunita Putra (PWTC) malam tadi.

Kata Perdana Menteri, kedudukan terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu.

"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.

"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.

Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang ia lakukan sejak pesawat ini hilang.

MAS juga memaklumkan operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.

"Sekali lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.

"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.

Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.

Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat diperlukan pada masa yang sukar ini.

Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.

Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai kehilangan pesawat itu.

Antara teori yang dikemukakan dalam masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri sehingga kehabisan minyak.

Pesawat penerbangan MH370 membuat hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan Malaysia dan Vietnam. Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan asalnya dan terbang selama beberapa jam.

Usaha mengesan pesawat itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.

Sumber : SINI

*******

Al-fatihah untuk penumpang dan crew yang beragama Islam. Takziah untuk semua penumpang dan crew pesawat MH370. RIP semua penumpang dan crew MH370.

إنّا لله وإنّا إليه راجعون
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿١﴾ الْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٢﴾ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿٣﴾ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ﴿٤﴾ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ﴿٥﴾ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾ـ




#PrayForMH370 #doauntukMH370 #pray4MH370 #RememberingMH370 #alfatihahbuatMH370

Harap akan ada penjelasan lanjut tentang berita yang mengejutkan ini dalam sidang akhbar hari ini.

**masih mengharapkan keajaiban berlaku..masih mengharapkan yang terbaik.. Namun andai ini takdirNya, redhalah..

No comments:

Post a Comment